Sunday, May 4, 2008

Pasukan Hoki Lelaki SMSS ke STF Jun ini

Kuala Lumpur, 4 Mei 2008 – Pasukan Hoki lelaki bawah 16 tahun Sekolah Menengah Sains Selangor, Kuala Lumpur telah berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Kejohanan Hoki Sekolah Berasrama Penuh Kali Ke-3 yang akan diadakan di Sekolah Tun Fatimah, Johor Baharu pada 12 hingga 16 Jun nanti.

Ini merupakan kejayaan kali kedua bagi pasukan sekolah setelah kecewa pada tahun lalu untuk menempatkan diri dalam kalangan 9 buah pasukan hoki lelaki terbaik di peringkat Sekolah Berasrama Penuh.

Kemenangan ini amat melegakan jurulatih pasukan, Encik Sanderan Rathinam yang juga merupakan jurulatih pasukan hoki wanita bawah 18 tahun MSSM Kuala Lumpur yang telah muncul juara pada kejohanan baru-baru ini.

Walaupun hanya mendapat tempat ketiga dibelakang pasukan dari sekolah SMAP Kajang dan MTD yang menjadi johan dan naib johan pada tahun ini, namun pasukan SMSS layak secara automatik untuk mengiringi pasukan dari SMAP Kajang disebabkan pasukan dari MTD hanya bermain di peringkat zon tengah sahaja.

Pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, pasukan SMSS telah berjaya mengalahkan pasukan dari SMS Kuala Selangor dengan jaringan -0

Sementara itu, pasukan perempuan SMSS pula hanya mampu mendapat tempat ke-4 setelah tewas dalam penentuan penalty flick kepada pasukan SEMASHUR pada penentuan tempat ketiga dan keempat. Johan kategori perempuan pula disandang oleh pasukan dari Sekolah Seri Puteri setelah mengalahkan pasukan SMAP Kajang.

Kejohanan yang berlangsung pada 3 dan 4 Mei itu telah diadakan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil dan melibatkan 13 buah Sekolah Berasrama Penuh termasuk pasukan jemputan daripada Maktab Tentera Diraja.

Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Encik Sohimi bin Hasnan, Penolong Pengarah Sektor Sekolah Berasrama Penuh, mewakili Ketua Penolong Pengarah yang tidak dapat hadir pada majlis tersebut.

Turut sama hadir pada majlis penutupan tersebut ialah Tn Hj Mohd Ardani bin Yunos, Pengetua Sekolah Menengah Sains Selangor, Tn Hj Syed Baharom, Pengetua SMAP Kajang, Profesor Madya Dr Azizan, Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Sains Selangor, Encik Ilias bin Hamat dan tetamu jemputan yang lain.